Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuching: Pendidikan percuma yang disediakan kerajaan Sarawak kepada rakyat negeri ini mulai tahun depan turut ditawarkan kepada golongan pekerja yang mahu melanjutkan pelajaran sepenuh masa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pekerja yang berminat boleh memohon melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di universiti milik kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak membangunkan modal insan melalui konsep pembelajaran sepanjang hayat.

“Kita mahu membangunkan sebanyak mungkin modal insan berkualiti termasuk meningkatkan kemahiran serta kelayakan mereka yang sudah bekerja.

“Sebab itu inisiatif pendidikan percuma itu turut ditawarkan kepada golongan pekerja yang berhasrat menyambung pelajaran, tetapi tawaran hanya untuk program sepenuh masa, tidak untuk pendidikan jarak jauh (PJJ) atau luar kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja yang berminat menyambung pelajaran itu haruslah anak Sarawak yang memiliki indikator ‘K’ pada kad pengenalan mereka.

“Asalkan universiti menerima, anda mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa dan kerajaan akan menanggung pembiayaan.

“Tiada had umur, kalau umur 60 tahun pun boleh, asalkan ada indikator ‘K’ yang mengesahkannya sebagai anak Sarawak,” katanya.

Institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak yang akan melaksanakan pendidikan percuma adalah Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).-MyMetro Online