PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan tiga lagi Batalion Pasukan Gerak Am (PGA) baharu, masing-masing dua di Sabah manakala satu lagi di Sarawak dalam usaha meningkatkan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peluncuran Batalion 21 di Keningau dan Batalion 22 di Kunak di Sabah serta Batalion 23 di Sri Aman, Sarawak itu secara keseluruhannya menjadikan jumlah anggota kepada 12,000 membabitkan 23 batalion.
“Signifikan peluncuran hari ini merupakan bukti yang jelas lagi terang, komitmen berterusan PDRM untuk menjalankan tanggungjawab memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.
“Tiga perkara penting boleh disimpulkan dalam signifikan acara hari ini termasuklah pertama mengesahkan tahap kesiap-siagaan pasukan untuk menghadapi cabaran atau ancaman keselamatan.
“Kedua, memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik manakala ketiga, membuktikan iltizam kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur keselamatan,” katanya selepas meluncurkan Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM103 juta disalurkan kepada PGA bagi proses pembaikan infrastruktur, naik taraf pos dan perolehan aset termasuk menaik taraf penempatan sementara Batalion 21, Batalion 22 dan Batalion 23 PGA.
Katanya, kementerian juga meluluskan peruntukan kerja penyelenggaraan dan perolehan peralatan melibatkan pos-pos PGA di seluruh negara dengan kos RM45 juta pada 2023 dan RM43.5 juta pada tahun 2024.
“Dana ini bagi menyediakan fasiliti dan prasarana yang lebih kondusif untuk kelancaran penugasan dan kesejahteraan kehidupan petugas barisan hadapan,” Katanya.-BH Online