Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DAP telah bersetuju melantik seorang wakil UMNO ke dalam exco Pulau Pinang.

“DAP menerajui kerajaan Pulau Pinang dan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) telah bersetuju agar seorang ahli UMNO untuk duduk di dalam majlis mesyuarat kerajaan (exco) Pulau Pinang,” kata setiausaha agung DAP, Anthony Loke dalam satu sidang media seusai mesyuarat CEC di ibu pejabat parti DAP.

“Ini akan menterjemah semangat kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pulau Pinang,” tambah beliau.

Terdapat dua orang Adun BN-UMNO iaitu Adun Bertam Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Adun Sungai Acheh Rashidi Zainol.

Loke turut menafikan bahawa DAP bercadang untuk bergabung dengan MUDA.

“Tiada persoalan sebegitu dibincangkan dalam mesyuarat. Sebaliknya kita mahu Pemuda Sosialis DAP diperkukuhkan lagi,” kata Loke.

Beliau berkata begitu apabila ditanya berkenaan saranan veteran parti Lim Kit Siang.

Beliau turut mengakui bahawa partinya belum menjalankan ‘post-mortem’ ke atas keputusan pilihan raya negeri enam negeri.

“Kita kena ‘post-mortem’ kerusi yang kita menang juga. Ia menunjukkan adanya kerjasama baik di antara PH dan BN. Ia sangat jelas di Negeri Sembilan di mana kita menang 31 dari 36 kerusi.

“Kita paling bangga dengan kerusi DUN Sungai Pelek. Kawasan tersebut terdiri 60% Melayu dan 40 % bukan Melayu. Calon Cina PH berjaya tewaskan calon Melayu Bersatu walaupun ia kerusi majoriti Melayu.

“Ini menunjukkan masyarakat Melayu boleh terima calon PH.”