Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MOSCOW: Malaysia perlu bersiap sedia merebut peluang di Russia, terutama jika hubungan antara Moscow dan Amerika Syarikat (AS) bertambah baik, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini, beliau berkata langkah kerajaan memperkukuh hubungan dengan Russia adalah strategi jangka panjang memandangkan landskap global yang tidak menentu dan sukar diramal.

“Hubungan antara Russia dan AS boleh pulih pada bila-bila masa. Pentadbiran AS sekarang mempunyai pandangan terhadap dunia berbanding sebelum ini.

“Jika itu berlaku dan Malaysia sudah mengukuhkan hubungan dengan Russia, maka kita boleh meraih manfaat yang besar,” katanya.

Mohamad berkata, Russia menawarkan potensi besar yang belum diterokai dalam pelbagai sektor, khususnya pertanian dan teknologi.

“Negara ini kaya dengan sumber dan maju dalam pelbagai bidang, termasuk pertanian. Kita perlu bersedia untuk terbabit dan meraih manfaat apabila tiba masanya,” katanya.

Majlis makan malam itu dihadiri lebih 100 rakyat Malaysia, termasuk pelajar dan kakitangan kedutaan, yang dihoskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Russia.

Mohamad turut meminta pelajar Malaysia di Russia menjaga nama baik negara dan kembali berkhidmat selepas tamat pengajian, khususnya dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.

“Apabila anda tamat belajar, pulanglah dan sumbangkan kepakaran anda. Negara memerlukan kemahiran anda,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menyatakan beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Penyelaras Malaysia untuk Russia.

Sehubungan itu, Johari diberi tanggungjawab menangani halangan perdagangan yang berterusan akibat sekatan Barat terhadap Kremlin.

“Perdana Menteri tugaskan saya untuk menguruskan (hal berkaitan) Russia kerana cabaran perdagangan yang kita hadapi di sini.

“Ramai pengeksport (Malaysia) keberatan kerana sekatan. Bank juga enggan memproses urus niaga. Pembeli Russia mahu bayar, tetapi bank Malaysia tidak terima dana,” katanya.

Johari berkata, sesetengah perniagaan terpaksa menggunakan Singapura atau saluran pihak ketiga untuk menyelesaikan transaksi – pendekatan yang menunjukkan penyelesaian wujud jika ditangani secara strategik.

“Kalau Singapura dan Indonesia boleh buat, kita pun boleh. Sebagai contoh, Indonesia mengeksport minyak sawit ke Russia dan menerima bayaran secara langsung.

https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=430&adk=1759374627&adf=3899972605&pi=t.aa~a.1654364369~i.36~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1747202195&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×430&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F05%2F1395620%2Fmalaysia-perlu-rebut-peluang-luas-di-russia-mohamad&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1747202196562&bpp=1&bdt=921&idt=1&shv=r20250512&mjsv=m202505070101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D2c6c65e2b08950ee%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747202037%3AS%3DALNI_MYFr7ZmdW3ttzgHoi67K60oeSIv3w&gpic=UID%3D000010c08ed6ff65%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747202037%3AS%3DALNI_MaRqw6gllaiLsqe0QsPovktFACJMg&eo_id_str=ID%3D5e478c2a11f547ac%3AT%3D1747201689%3ART%3D1747202037%3AS%3DAA-AfjasaI-tDk3dTT3f_mZQ4eNO&prev_fmts=0x0%2C430x430&nras=3&correlator=1375757887110&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=3188&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31092192%2C95353386%2C95360813%2C42533294%2C95359266%2C95359271&oid=2&pvsid=2708068062830309&tmod=374940205&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=3&uci=a!3&btvi=2&fsb=1&dtd=35

“Isu seperti ini boleh diselesaikan dan itu tanggungjawab saya untuk cari jalan ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030 memerlukan pelaburan besar dalam bakat dan inovasi.

“Dengan ketidaktentuan global, semakin sukar untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, berintensif modal dan berteraskan teknologi.

“Justeru, kita perlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, termasuk rakyat Malaysia di luar negara.

“Pengalaman anda penting dalam membina ekosistem yang kita perlukan di tanah air,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pelajar Malaysia di luar negara perlu meneroka teknologi pertanian baharu, khususnya untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“China sudah jauh ke hadapan dalam inovasi pertanian. Kita mesti ikut jejak itu. Jika mahu menjamin keselamatan makanan jangka panjang, kita perlu terima amalan pertanian moden dan cekap,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menegaskan kementeriannya sedang melaksanakan transformasi sistem pendidikan tinggi.

Katanya, transformasi itu akan dijalankan di bawah Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi 2025–2035 yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

“Ia bermatlamat menyelaraskan universiti kita dengan arus global dan cabaran masa depan, terutama dalam keadaan teknologi terus mengubah landskap pendidikan,” katanya.-BH Online