Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) masih kosong, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi membincangkan perkara berkenaan hari ini.

“Setakat ini masih belum ada calon lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.

Media sebelum ini melaporkan, KDN sedang mengenal pasti calon untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah AKPS yang kosong susulan persaraan penyandangnya, Datuk Seri Hazani Ghazali pada 9 Februari lalu.

Saifuddin berkata proses pemilihan calon untuk mengemudi AKPS juga sudah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BH hari ini melaporkan, AKPS yang bermula pada bulan depan diletakkan di bawah pemantauan ketat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-MyMetro Online