BUTTERWORTH: Malaysia harus mengambil peluang daripada jawatan kepengerusiannya dalam ASEAN tahun ini untuk meneroka dan menyebar luaskan pasaran industri halal secara maksimum ke seluruh negara anggota serantau itu yang memiliki populasi lebih 600 juta penduduk, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia kini giat memperkukuh ekosistem industri halal negara menerusi penyelarasan menyeluruh termasuk membabitkan agensi pusat dan agensi di bawah kerajaan negeri.
Katanya, penyelarasan antara Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan kerajaan negeri adalah penting bagi memperkukuh pembangunan dan promosi produk halal Malaysia.
“Tentunya koordinasi ini bukan agenda negeri sahaja tetapi agenda nasional.
“Saya mengambil beberapa langkah untuk berada pada peringkat antarabangsa bersama MATRADE dan HDC bagi memastikan penembusan pasaran serantau dapat dilaksanakan secara lebih strategik,” katanya selepas menghadiri pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Pulau Pinang menjadi negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal sebagai permulaan langkah penting dalam usaha membentuk ekosistem halal lebih sistematik, berdaya saing sekali gus dilihat dapat memenuhi keperluan pasaran global yang semakin berkembang.
Beliau menyifatkan langkah itu penting ketika produk halal dari Indonesia dan Thailand berjaya menembusi pasaran Malaysia manakala produk tempatan masih berdepan cabaran menembusi pasaran negara jiran terbabit.
“Keadaan itu disebabkan usaha pemasaran belum cukup kuat walaupun beberapa negara ASEAN yang mengiktiraf logo halal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memberi laluan kepada produk Malaysia tetapi sebahagian besar pasaran masih belum diterokai secara menyeluruh.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata usaha beliau mencadangkan penubuhan Majlis Halal ASEAN bertujuan mewujudkan platform penyelarasan standard dan pengiktirafan halal di rantau ini.
Katanya, Forum Halal ASEAN pada bulan September ini sempena penganjuran MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) bakal mengetengahkan pemain industri dari negara-negara ASEAN untuk sesi padanan perniagaan bersama pengimport produk halal negara yang berpotensi.
“Kita juga mengadakan satu usaha sama agar produk gelatin halal atau seumpamanya yang setakat ini hanya ada satu di Malaysia dapat diperluaskan untuk pasaran ASEAN dan antarabangsa kerana gelatin yang ada tidak mempunyai piawaian sesuai untuk menghasilkan produk halal lain.
“Begitu juga untuk sektor perubatan, kosmetik dan lain-lain yang pada hemat saya, kita hanya menumpukan pada sektor makanan dan minuman sedangkan sektor lain mempunyai potensi yang besar pasarannya dan harus diperkembangkan secara meluas,” katanya.-BH Online