KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan lawatan rasmi ke Russia selama tiga hari bermula esok hingga 16 Mei ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata lawatan Anwar itu bagi memenuhi undangan Presiden Russia, Vladimir Putin.
“Ia merangkumi lawatan ke Moscow bermula 13 hingga 15 Mei ini dan kemudian ke Kazan, Tatarstan.
“Ketika di Moscow, beliau akan berucap di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), mengadakan perjumpaan dengan ahli perniagaan Russia dan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di Moscow,” katanya dalam taklimat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Di Kazan pula, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari KazanForum, 16 Mei ini.
“Beliau juga akan menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Strategic Vision Group dan mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan.
“Di Tatarstan, Perdana Menteri akan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa ‘KazanForum’ Ke-16 atas jemputan Rais Republik Tatarstan, TYT Rustam Minnikhanov,” katanya.-BH Online