KUALA LUMPUR: Malaysia memohon kepada Amerika Syarikat (AS) supaya memberikan ruang kepada semua negara ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian berhubung tarif timbal balas yang dikenakan AS, melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendirian itu dinyatakan Perdana Menteri kepada rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan dari Singapura, Lawrence Wong dalam perbualan telefon secara berasingan, hari ini.
Membincangkan mengenai perdagangan serantau khususnya berkaitan isu tarif berkenaan, Perdana Menteri memaklumkan kepada kedua-dua pemimpin itu bahawa Malaysia menghantar wakil melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.
“Malaysia turut menyuarakan pendirian kohesif ASEAN dalam isu tarif balas ini dan menggesa AS melihat ASEAN sebagai satu ketumbukan dalam pertimbangannya berhubung isu tarif dan dasar perdagangan yang lain.
“Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, insya Allah,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan melalui Facebooknya, malam ini.
Perdana Menteri berkata, dalam perbualan itu juga, beliau memaklumkan hasil pertemuannya dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than di Bangkok baru-baru ini.
Katanya, kedua-dua Perdana Menteri itu menyuarakan sokongan dan menyambut baik pertemuan berkenaan, yang dilihat sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai yang berkekalan di Myanmar.
“Mereka turut menyokong usaha Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, untuk meneruskan dialog dengan semua pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan petugas kemanusiaan dan membawa keamanan kepada rakyat Myanmar,” katanya.-BH Online