Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR, 28 April – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu Makmal Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di setiap negeri, bagi membantu menyelaraskan proses pembinaan, meningkatkan kecekapan serta memberikan faedah jangka panjang kepada penggiat industri.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini lima Makmal BIM telah beroperasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, CIDB merancang menambah tujuh lagi Makmal BIM di Melaka, Perak, Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Makmal BIM dapat membantu industri pembinaan menghasilkan pelan pembangunan projek menggunakan model tiga dimensi (3D), sekaligus menangani isu kelewatan projek melalui perubahan proses kerja serta penggunaan teknologi baharu,” katanya demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke CIDB Kedah di sini hari ini. Lawatan tersebut turut disertai Pengarah CIDB Kedah, Muhammad Fariq Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad berkata penggunaan BIM mampu mengelakkan kesilapan semasa pembinaan dengan mengenal pasti masalah dihadapi pada peringkat awal.

“Ia boleh memberikan keberkesanan untuk penyelenggaraan aset, pembinaan aset, mengurangkan kesilapan-kesilapan pembinaan, dan seterusnya mengurangkan kos projek,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kadar penggunaan BIM di Malaysia kini mencecah 55 peratus, melebihi beberapa negara lain termasuk Singapura, Jepun, China, Poland, Estonia dan Rusia.-Berita RTM