Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan sifar kemalangan di tempat kerja bagi memastikan setiap pekerja dilindungi dan bekerja dalam persekitaran selamat.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata hasil pelbagai inisiatif dijalankan sejak 2014, kadar kecederaan menurun 17 peratus, manakala insiden kematian berkaitan kemalangan di tempat kerja menunjukkan penurunan hampir 40 peratus.

Katanya, ini satu pencapaian ketara yang membanggakan hasil usaha berterusan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), warga KESUMA dan semua pemegang taruh.

“Pada Oktober lalu, KESUMA menandatangani lebih 100 penguatkuasaan undang-undang mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), meluaskan perlindungan ke semua sektor ekonomi, berbanding hanya 10 sektor sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris; dan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof.

Berdasarkan Statistik Kecederaan dan Penyakit Pekerjaan Negara 2023, sebanyak 38,950 kes kecederaan pekerjaan direkodkan di seluruh negara, termasuk 324 kes maut.

Kadar kecederaan pekerjaan bagi 2023 adalah 2.46 bagi setiap 1,000 pekerja, sedikit melebihi sasaran 2.32.

Sementara itu, kadar kematian akibat kecederaan pekerjaan ialah 2.05 bagi setiap 100,000 pekerja, lebih baik daripada sasaran 3.23 yang ditetapkan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25).

Sim berkata, pelaksanaan undang-undang baharu juga mewajibkan setiap tempat kerja yang mempunyai lima pekerja perlu melantik seorang penyelaras OSHA, selaras Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau turut menekankan hak pekerja untuk mengasingkan diri daripada risiko bahaya di tempat kerja, yang kini diperuntukkan secara rasmi dalam undang-undang Malaysia.

“Majikan tidak boleh mendakwa pekerja enggan bekerja jika mereka mengelak daripada situasi berbahaya dan berhak mengasingkan diri tanpa dikenakan tindakan,” katanya.-BH Online