Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGE TOWN: Kementerian Digital kini dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara pintar yang lengkap dengan infrastruktur digital menyeluruh.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata antara tonggak utama dalam pembinaan negara pintar ialah memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif bandar pintar dan Kementerian Digital memberi sokongan penuh terhadap usaha itu.

“Selain Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Johor dan Sarawak juga sedang membangunkan bandar pintar dan kementerian sedang memantaunya bagi mewujudkan sebuah negara pintar. Kita turut mengadakan mesyuarat dengan exco negeri setiap enam bulan untuk memberikan pandangan dan perkembangan berkaitan status di negeri berkenaan.

“Ia juga untuk melihat bagaimana kerjasama boleh dilaksanakan untuk memastikan bahawa kita boleh bergerak ke depan dalam masa yang sama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Komtar di sini, hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Datuk A. Rajendran.

Mengulas lanjut, Gobind berkata kementeriannya bertanggungjawab memastikan infrastruktur digital negara mencukupi dan mampu menyokong keperluan teknologi masa depan secara holistik supaya tiada kawasan yang tertinggal dalam arus pendigitalan.

“Kita mahu membina sebuah negara pintar… salah satu tonggak penting dalam membina negara pintar ini ialah memastikan setiap negeri mempunyai inisiatif bandar pintar, seperti yang kita lihat pada hari ini dengan teknologi baharu, kita akan melihat lebih banyak inovasi canggih bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata Pulau Pinang semakin hampir untuk menjadi bandar kecerdasan buatan (AI) pertama negara apabila pelbagai teknologi pintar mula diintegrasikan dalam pentadbiran dan infrastruktur bandar.

Beliau berkata, penggunaan teknologi AI bukan sahaja mempercepat pemodenan bandar malah meningkatkan produktiviti, kecekapan perkhidmatan serta kualiti hidup rakyat menerusi penyelesaian berasaskan teknologi.

Katanya, antara projek utama yang dilaksanakan ialah sistem pengurusan trafik pintar berasaskan analitik AI untuk mengoptimumkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar.

Selain itu, beliau berkata MBPP juga membangunkan ‘kembar digital’ yang membolehkan simulasi maya, analisis data serta visualisasi bandar dijalankan bagi menyokong perancangan bandar dan pengurusan kecemasan.

Katanya, pusat arahan bersepadu bandar itu juga akan dilengkapi pangkalan data bersepadu bagi membolehkan maklumat dikumpul dari pelbagai sistem untuk meningkatkan kecekapan pengurusan termasuk penggunaan teknologi AI Generatif untuk menganalisis data kompleks sekali gus memudahkan proses membuat keputusan yang lebih tepat dalam pelbagai sektor.

Menurut Gobind, lawatan hari ini menjadi sebahagian daripada persiapan untuk Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL 2025) pada 17 hingga 19 Sept di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, anjuran bersama oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB).-BERNAMA