Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Kesilapan menyiar atau memaparkan bendera Jalur Gemilang yang tidak lengkap adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak seharusnya berulang dalam apa bentuk sekali pun, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, pihaknya percaya agensi berkaitan sudah mengambil tindakan sewajarnya, namun kesalahan sedemikian sukar diterima kerana bendera adalah simbol kedaulatan negara.

“Saya sangat kesal, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku, sudah berapa lama kita menggunakan bendera ini, saya rasa semua orang terkejut sesuatu seperti ini berlaku.

“Jangan ulang lagi. Kita mahu negara yang sejahtera, damai dan stabil. Kesilapan itu mencetuskan keresahan awam dan menjejaskan perpaduan yang dipupuk selama ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini, hari ini.

Selasa lalu, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera itu tidak lengkap.

Sehari kemudian, akhbar Kwong Wah Yit Poh pula dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya, Rabu lalu.

Terbaru, pengeluar makanan bayi, Singapore Lactation Bakes (SLB) tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia di Kuala Lumpur.

Aaron berkata, pihaknya bimbang jika kesilapan itu tidak ditangani sebaiknya, ia dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, permohonan maaf dibuat pihak terbabit adalah langkah terbaik bagi meredakan keadaan, namun tindakan susulan bergantung kepada pertimbangan pihak berwajib.

Sementara itu, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan akan melaksanakan kutipan data di lapangan bagi Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) Ketiga di seluruh negara bermula 28 April ini.

Berdasarkan dapatan kajian, skor IPNas pada 2018 ialah 0.576, manakala skor IPNas pada 2022 ialah 0.629 dengan kementerian itu menyasarkan skor 0.7 pada tahun ini.

“Ini kali ketiga kita buat kajian itu. Indeks sekarang sederhana iaitu kira-kira 0.6 dan kita sasarkan mencapai 0.7 yang menunjukkan tahap perpaduan yang selamat.

“Kajian ini dijalankan sekumpulan profesor daripada universiti tempatan dan cara pengiraan indeks ini melalui kaedah tinjauan,” katanya.-BH Online