KOTA TINGGI: Malaysia sedang meneliti beberapa syarikat pengeluar peluru berpandu sebagai alternatif bagi menggantikan bekalan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) yang gagal diperoleh selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan itu kepada negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara syarikat negara yang sedang diteliti termasuklah Itali, Perancis, Turkiye, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Bagaimanapun katanya, Malaysia akan melihat sama ada bekalan berkenaan tersedia terlebih dahulu bagi memastikan tempoh menunggu tidak terlalu lama.
“Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal dia, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya nak minta dulu.
“Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu ‘surface to surface’. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita nak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pihaknya akan turut melihat aspek integrasi selain harga yang ditawarkan syarikat berkenaan sebelum keputusan dibuat.
Sementara itu, beliau turut memberitahu tindakan tuntutan dan saman terhadap syarikat dari Norway atas kegagalan mereka mematuhi kontrak akan diteruskan.
“(Norway mohon maaf) Maaf, maaflah. Tetapi tuntutan tetap kita buat. Saman tetap saman, saman pada syarikat itu. Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, dia boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion.
“Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain-lain, semua itu membabitkan kos jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka,” katanya.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia sudah menghantar surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway.-BH Online
