KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat menjaga kestabilan negara terlebih dahulu dalam berdepan cabaran semasa dunia, bagi memastikan daya tahan dan daya saing negara dapat dikekalkan.
Perdana Menteri berkata, keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan tarif kepada banyak negara dagangannya baru-baru ini, adalah peringatan penting dalam memelihara kemakmuran negara.
“Donald Trump menetapkan tarif menggemparkan. Kita dikenakan 24 peratus, ada negara 50 peratus, Indonesia dan Thailand 30 peratus.
“Jadi apa yang kita lakukan? Ia mengingatkan kita, kita kena siap jaga rumah tangga kita kena betul. Negeri kita, ekonomi kita supaya bila ada malapetaka yang menimpa, kita dapat bertahan.
“Ini yang disebut daya tahan supaya kita ada daya saing,” katanya berucap pada Majlis Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam mewujudkan kestabilan, Perdana Menteri menegaskan, semua rakyat perlu bersyukur dengan nikmat diperoleh, termasuk pimpinan negara yang mendengar pandangan dan keluhan rakyat dalam memperbaiki kelemahan serta memperbetulkan tatakelola pentadbiran.
“Syukur ini penting. Kadang-kadang kita dapat manfaat, kita anggap semuanya biasa sahaja sedangkan hakikatnya tidak begitu.
“Kadang-kadang kita lupa bersyukur. Jangan kita kufur menolak nikmat Tuhan. Kalau kita menolak, asyik maki, asyik marah, asyik tak kenang budi, itu bahaya, takut azab yang pedih akan menimpa kita.
“Sistem politik Sarawak stabil, pimpinannya mempunyai wawasan, tegas dan mempunyai idea untuk sentiasa menimba pengalaman baharu mencungkil bakat keupayaan.
“Selain itu, Sarawak memberi sumbangan yang besar dan di semua negara saya kunjungi, baik Eropah, China, Jepun apa lagi ASEAN, justeru saya sebut Sarawak berpotensi besar sebagai hab tenaga rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengarahkan agensi Persekutuan khususnya di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pendidikan (KPM) menyegerakan projek pembangunan sekolah di Sarawak.
Perdana Menteri berkata, pembangunan sekolah adalah antara keperluan mendesak dan rakyat mahu pelaksanaannya dipercepat.
Beliau berkata, wujud keperluan bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri meningkatkan usaha ke arah menjaga kepentingan bersama.
“Ada cadangan meminta saya mengumumkan pembangunan sekolah baharu, sama ada sekolah rendah atau menengah di serata Sarawak.
“Antaranya di Sarikei, Mukah, Daro, Sri Aman dan Saratok, tidak kiralah pembangunan semula atau membina sekolah baharu.
“Saya minta semua projek ini jangan dilengahkan. Ia mesti dilaksanakan secepat mungkin kerana rakyat mahu projek ini disegerakan,” katanya
Perdana Menteri berkata, langkah Sarawak mendahulukan dana sendiri untuk membina kemudahan infrastruktur termasuk Hospital Kanser adalah pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah kelewatan pembinaan kemudahan itu.
“Projek itu memerlukan peruntukan RM1 bilion dan keputusannya Sarawak mendahulukan dengan dana sendiri dan Kerajaan Persekutuan akan membayar kemudian.
“Apabila hospital itu dibina, ia turut memberi sumbangan kepada negara dan menjadi hospital kanser terbaik,” katanya.-BH Online