KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri di Wisma SABATI di sini, dalam lawatan kerja sehari beliau di sini.
Perdana Menteri tiba kira-kira 1.40 tengah hari bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan meluangkan masa selama setengah jam pada majlis tersebut.
Beliau sempat beramah mesra dengan orang ramai yang hadir sebelum beredar.
Terdahulu pagi tadi, Anwar bersama Abang Johari dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Mesyuarat Khas dan Taklimat Pembangunan Sarawak kira-kira sejam di Wisma Bapa Malaysia, sebelum ke Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 12 tengah hari untuk turut sama memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI.
Lebih 10,000 orang menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Sarawak itu yang dianjurkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri dijadualkan berangkat pulang ke ibu negara dengan pesawat khas pada 3.30 petang tadi.– BERNAMA