KUALA LUMPUR: Lonjakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan sejak dua tiga hari lalu menjadi punca kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, melalui satu muat naik di laman X, malam ini.
“Jabatan Kecemasan HTAR sedang mengalami peningkatan ketara dalam jumlah kedatangan pesakit sejak dua hingga tiga hari kebelakangan ini, pasca perayaan Aidilfitri.
“Meskipun saya nyatakan kesiapsiagaan di tahap yang baik sebelum hari raya dan tidak ada ledakan kedatangan pesakit dalam dua minggu selepas hari raya, saya amat sedar kedatangan melonjak secara mendadak dalam dua tiga hari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada satu ciapan mengenai isu kesesakan yang berlaku di Jabatan Kecemasan HTAR, dengan foto turut dikongsi mengenai pesakit yang bersusun menunggu untuk kemasukan ke wad.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata Pengarah HTAR, Dr Selvamalar Selvarajan bersama pegawai khas dari Pejabat Menteri Kesihatan yang juga doktor kini berada di Jabatan Kecemasan hospital itu, untuk menangani isu berkenaan, dengan beberapa tindakan segera sedang diambil.
Antara langkah diambil, katanya termasuk menggerakkan pesakit yang telah discaj tetapi sedang menunggu ahli keluarga untuk menjemput mereka ke kawasan rehat, bagi membebaskan lebih banyak katil, selain katil tambahan diletakkan di zon tertentu sementara menunggu penempatan ke wad.
Tindakan juga diambil untuk memobilisasi kakitangan tambahan bagi membantu menghadapi lonjakan pesakit.null
“Saya amat sedar akan kesulitan serta sangat menghargai kesabaran dan kerjasama pesakit serta ahli keluarga mereka.
“Pihak KKM akan memberikan makluman lanjut dalam masa terdekat, insya- Allah,” katanya.-BH Online