SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia sebagai detik bersejarah yang mengukuhkan lagi hubungan strategik serta persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, kepulangan Xi dan delegasi China selepas lawatan negara yang penuh makna itu mencerminkan tahap keyakinan dan keakraban yang semakin kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing.
“Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama strategik Malaysia-China yang sekian lama terjalin berasaskan saling percaya, saling menghormati dan semangat ke arah keamanan serta kemakmuran serantau,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Lawatan Xi ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dianggap sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan budaya.
Anwar berkata, Malaysia amat berbesar hati menerima kunjungan pemimpin tertinggi China itu dan percaya hasil pertemuan serta pertukaran pandangan sepanjang lawatan terbabit akan membuka lebih banyak ruang kerjasama dan manfaat bersama.
“Bak kata pepatah Melayu, bagai aur dengan tebing-saling menyokong dan saling memperkuat. Dan dalam semangat persahabatan, hubungan ini akan terus dipelihara dengan keikhlasan dan rasa hormat yang mendalam,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan bersejarah itu dan berharap hubungan dua hala yang terjalin selama lima dekad akan terus subur dan berkembang demi masa depan rakyat kedua-dua negara.
“Sampai jumpa lagi!,” katanya mengakhiri hantaran itu.-BH Online