KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti secara menyeluruh kemampanan serta kedudukan kewangan Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mengkaji semula kadar pinjaman kepada pelajar.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan kerajaan yang mahu menimbang kajian semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik hutang PTPTN.
” KPT menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk mengkaji semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik PTPTN,” menurut kenyataan kementerian itu, malam ini.
KPT menegaskan pihaknya turut menyedari keluhan pelajar berhubung isu itu, namun menegaskan hutang keseluruhan PTPTN sudah mencecah RM40 bilion dan hutang tertunggak sebanyak RM11 bilion setakat ini.
“KPT melalui institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing turut peka dan menyediakan bantuan sewajarnya kepada pelajar-pelajar yang berkeperluan dan menghadapi sebarang kesukaran sepanjang pengajian.
“Malah, PTPTN terus membantu peminjam menyelesaikan hutang melalui rundingan bagi pembayaran balik yang lebih fleksibel tanpa membebankan peminjam melalui pelbagai cara dan kaedah,” menurut kenyataan KPT, hari ini.
Mengulas lanjut, KPT berkata, pendekatan penuh empati dilaksana PTPTN bagi memastikan semua ruang diberikan kepada peminjam dan selari dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu Ihsan.
“Ini juga bagi memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan dan relevan untuk generasi akan datang,” katanya.-BH Online