Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dana Infrastruktur ASEAN (AIF), inisiatif pembiayaan infrastruktur terbesar di rantau ini yang dibiayai oleh sumbangan ahli, melancarkan Pelan Tindakan 2025-2028 bagi memacu projek infrastruktur yang mampan di rantau ini.

Pelan tindakan yang disahkan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 akan menjadi panduan strategik dan boleh diambil tindakan untuk dana itu bagi empat tahun akan datang.

Ia juga menjadi ‘dokumen hidup’ tertakluk kepada bimbingan berterusan lembaga pengarahnya, yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN dan Asian Development Bank (ADB). 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pelan tindakan itu memberikan komitmen AIF kepada visi pertumbuhan yang bercita-cita tinggi, nilai yang dipertingkatkan kepada peminjam, perkongsian baharu dan kehadiran serantau yang lebih tinggi.

Beliau berkata, Malaysia, sebagai Pengerusi AIF dan ASEAN pada 2025, percaya bahawa AIF mewakili mekanisme penting untuk menangani cabaran infrastruktur rantau ini dan menyokong sepenuhnya evolusi berterusannya ke arah ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif. 

Katanya, sejak penubuhan AIF, dana itu telah membiayai 15 projek penting dalam pelbagai sektor seperti pertanian, sumber asli dan pembangunan luar bandar, pengangkutan, tenaga, air dan pembangunan bandar, yang kesemuanya telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau dan integrasi ekonomi.

Jelasnya, projek itu bukan saja menyediakan infrastruktur yang sangat diperlukan tetapi juga telah meletakkan asas bagi ASEAN yang lebih saling berkaitan dengan mewujudkan sinergi antara negara, meningkatkan aliran perdagangan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan sumber.

“Hari ini, lembaran baharu untuk AIF bermula. Dengan pengesahan pemegang sahamnya – kesemua 10 negara ASEAN dan ADB, AIF melancarkan Pelan Tindakan baharunya 2025-2028.

“Dengan Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi AIF dan Pengerusi ASEAN untuk tahun ini, kami berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai oleh dana ini dan visi transformatif yang dipegangnya,” katanya pada pelancaran pelan tindakan itu di sini, hari ini. 

Keutamaan segera pelan tindakan itu ialah mengembangkan kapasiti kewangan dana dengan mendapatkan modal baharu, sekali gus membolehkan pinjaman yang lebih besar kepada negara anggota ASEAN dan meningkatkan daya saing harga pinjaman AIF melalui pelarasan dasar dan semakan berkala.

Ia juga untuk mengembangkan rangkaian penyelesaian pembiayaan AIF melalui kemudahan inovatif baharu, termasuk yang menyediakan projek ketersambungan serantau, seperti Grid Kuasa ASEAN dan pinjaman perintis dalam kewangan Islam dan mengembangkan lagi kerjasama Kemudahan Pembiayaan Hijau Pemangkin ASEAN (ACGF) dengan bank pembangunan multilateral dan institusi kewangan pembangunan, dan meluaskan akses kepada lebih banyak penderma modal awam dan swasta, menyalurkan lebih banyak kepakaran, dan mengembangkan perancangan projek AIF.

Dengan sokongan padu semua negara anggota ASEAN dan rakan kongsi pembiayaannya, AIF menantikan fasa baharu skala dan impak yang diperluas dalam menyokong usaha ASEAN untuk membiayai lebih banyak infrastruktur hijau dan berdaya tahan di rantau ini. 

Sehingga kini, AIF telah memberikan komitmen lebih AS$500 juta dan mengagihkan lebih AS$460 juta untuk menyokong 15 projek di enam negara ASEAN.-BH Online