KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencari individu berpengalaman luas untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bahawa individu yang dipilih harus mempunyai rekod cemerlang dalam penganjuran Sukan SEA sebelum ini bagi memastikan kesinambungan dalam pengurusan acara sukan berprestij ini.
“Saya akan mencari seorang CEO yang benar-benar berpengalaman dalam urus tadbir penganjuran Sukan SEA kerana kita tidak mempunyai banyak masa. Orang itu mesti seseorang yang banyak pengalaman dalam Sukan SEA yang lepas juga.
“Kali ini sangat unik kerana membabitkan empat kawasan bandar, Kuala Lumpur, Kuching kemudian kita ada Pulang Pinang dan Johor jadi banyak penyelarasan perlu dilakukan kerana ada empat lokasi yang berbeza,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Taska Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, di sini hari ini.
Menurut Hannah, perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diadakan selepas Aidilfitri bagi memilih individu yang akan memikul tanggungjawab berkenaan sebelum menyenaraikan secara terperinci ahli jawatankuasa temasya dwitahunan itu.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang cekap dalam penganjuran temasya tersebut.
“Yang paling penting bagi saya juga adalah aspek kewangan Sukan SEA ini. Kita perlu memastikan kewangan diuruskan dengan baik supaya tiada isu dan Parlimen selesa dengan perbelanjaan Sukan SEA nanti,” katanya.
Semalam, kerajaan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15, yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2027 yang dipengerusikan oleh Hannah.
KBS menerusi satu kenyataan turut memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut meluluskan penubuhan MASOC bagi pelaksanaan penganjuran dua temasya sukan utama serantau itu.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017, di mana negara berjaya menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak, dan 86 gangsa.
Berdasarkan penganjuran edisi 2027, Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij ini buat kali ketujuh selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001, dan 2017.
Terdahulu, Hannah merasmikan Taska Team MAS yang menjadi inisiatif langkah signifikan dalam memperkukuh sokongan kebajikan kepada atlet, jurulatih, dan warga agensi sukan di KL Sports City.
Hannah berkata Taska Team MAS bukan sekadar sebuah pusat penjagaan kanak-kanak, tetapi satu simbol komitmen KBS dalam membantu golongan atlet dan kakitangan sukan menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
“Taska ini beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Kenapa 7 pagi kerana ramai atlet kita berlatih awal pagi. Jadi kalau bergantung pada taska di luar, mungkin belum buka 7 pagi dan tidak mempunyai sokongan bagi jurulatih dan atlet kita,” katanya.-BH Online