KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan bernilai RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion tahun sebelumnya.
Kadar berkenaan dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus atau RM99.35 juta.
Agihan keuntungan TH itu menjadikan jumlah terkumpul berjumlah RM45.79 bilion sejak penubuhan 61 tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.5 juta pendeposit TH.
Beliau berkata, agihan keuntungan tertinggal sejak 2018 itu dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif tahun lalu, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.
“Alhamdulillah, ini adalah pulangan terbaik sejak 2018. TH akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi masa hadapan bagi membantu pendeposit mengembangkan tabungan haji mereka secara mampan,” katanya ketika mengumumkan agihan keuntungan TH bagi 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini (23 Mac) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
TH sudah merekodkan prestasi pelaburan yang baik pada tahun lalu dengan mencatatkan pulangan pendapatan 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos operasi.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM4.56 bilion, meningkat 6.29 peratus berbanding RM4.29 bilion yang direkodkan pada 2023.
Jumlah aset di bawah pengurusan TH telah mencapai RM95.06 bilion, naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada 2023.
Peningkatan itu didorong oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh.
Dana pendeposit pula telah mencecah RM91.75 bilion pada akhir 2024, meningkat berbanding RM89.01 bilion pada akhir 2023.
Syed Hamadah berkata, prestasi TH tahun lalu adalah berkadaran dengan Alokasi Aset Strategik yang berlandaskan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang bersesuaian untuk TH.
“Pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap menjadi penyumbang terbesar dan telah menjana 50 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 35 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti.
“Keuntungan daripada dagangan saham telah meningkatkan pendapatan pelaburan ekuiti, selari dengan prestasi pasaran saham domestik yang memberangsangkan pada 2024.
“Secara keseluruhannya, pelaburan dalam negara telah menyumbang 91.06 peratus daripada pendapatan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum 2018.
“Walaupun berdepan prestasi ekonomi dunia yang bergelut dengan tekanan inflasi pada tahun 2024, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.1 peratus didorong permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan langsung asing.
“Perkembangan ekonomi negara turut didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, dengan sokongan dasar baharu seperti peningkatan gaji minimum dan juga semakan gaji bagi penjawat awam,” katanya.
Sementara itu, TH sudah membantu lebih 1.5 juta umat Islam negara mengerjakan haji sejak penubuhan dan turut menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM2.8 bilion sejak diperkenalkan 2001.
Disamping peranan utama untuk menguruskan ibadat haji jemaah Malaysia, TH memberi nilai tambah kepada pendeposit melalui pelaburan patuh shariah dan pelunasan zakat bagi pihak pendeposit.
Bagi tahun kewangan 2023, TH mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, sama seperti kadar tahun kewangan sebelumnya.
Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion, berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.-BH Online