KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan 19,627 permit masuk daripada 49,461 permohonan dalam tempoh 10 tahun sejak 2015.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata untuk tahun ini setakat Februari lalu, sebanyak 2,587 permohonan permit masuk diluluskan menerusi penambahbaikan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).
Ini kerana katanya, proses keputusan permohonan permit masuk terutama bagi warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan sudah disingkatkan kepada enam bulan bagi memudahkan pemohon.
“Tempoh pemprosesan ini dipendekkan kepada enam bulan dari tarikh penerimaan dokumen lengkap. Sebelum ini, tiada tempoh pemprosesan yang ditetapkan.
“Kita menerima banyak rungutan pemohon, ada menunggu sehingga 16 tahun untuk mendapatkan kelulusan namun, dengan kepemimpinan baharu Imigresen, proses kini dipercepatkan bagi mengelakkan kelewatan yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar bersama Menteri Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2025 di Masjid Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kampung Permatang Tok Dik, Padang Seraidi sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya akan terus memperkasakan sistem imigresen negara tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata Imigresen akan terus menguat kuasa dan memantau warga asing bagi mengelak menyalahgunakan pas termasuk menjalankan perniagaan.
Katanya, menerusi Inspektorat Penguatkuasaan Imigresen yang dilancarkan baru-baru ini, sebanyak 287 pemeriksaan dilakukan membabitkan bazar-bazar di seluruh negara sehingga 12 Mac (Rabu lalu).
“Dia (warga asing ini) masuk sebagai pas sosial tiba-tiba berakhir dengan berniaga, itu satu kesalahan dibawah Akta Imigresen, jadi warga asing yang menjalankan perniagaan sebenarnya telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 Akta Imigresen 1959,
“(Selain itu) warga tempatan yang benarkan warga asing yang menjalankan perniagaan di premis mereka (juga) boleh disiasat mengikut Seksyen 55(b), 55(e), dan 56(1)(d),” katanya.-BH Online