KUALA LUMPUR, 13 Mac- Kios Sentuhan MADANI kini dibuka di KL Sentral bagi memudahkan rakyat mengakses lebih 100 perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan operasi pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata lokasi itu dipilih kerana ia menjadi hab transit utama dengan 220,000 pengguna harian.
“KL Sentral ini merupakan hab pengangkutan yang paling penting dalam negara kita.
Lokasinya di ibu kota dan setiap hari ada 220,000 orang yang menggunakan KL Sentral ini secara ulang alik.
Selain itu, di sini merupakan integrasi mod pengangkutan awam yang paling penting dalam negara.
Dengan adanya perkhidmatan Kiosk MADANI ini, kita yakin ia menambah nilai kepada penumpang kerana semasa mereka pergi balik dari kerja, semasa mengambil pengangkutan awam, mereka juga boleh membuat urus niaga terhadap pelbagai perkhidmatan termasuk JPJ, KWSP, ASNB, TNB, Pos Malaysia dan sebagainya,” kata Anthony kepada pemberita, hari ini.
Inisiatif itu turut menyokong usaha pendigitalan kerajaan termasuk pembaharuan pas My50 secara dalam talian mulai Mei ini.
Seperti yang saya katakan, dalam dua bulan lagi bulan iaitu bulan Mei, pengguna-pengguna My50, boleh meperbaharui pas bulanan mereka melalui kaedah dalam talian melalui secara digital, menggunakan e-dompet,” tambah Anthony.
KL Sentral adalah lokasi kedua selepas Alamanda Putrajaya, dengan kios ketiga dijadual dilancarkan di 1 Utama, April ini.-Berita RTM