KUALA LUMPUR: Tiga sekolah dalam kem (SDK) menjadi sekolah rintis bagi program digitalisasi untuk memenuhi keperluan era digital menerusi pengukuhan infrastruktur pendidikan itu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, tiga sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, SK TUDM Subang dan SK Sir Ibrahim, Kluang, Johor.
Beliau berkata, inisiatif menerusi projek ‘Affin Digital Space’ dengan kerjasama Affin Bank itu dimulakan di sekolah rendah kerana kanak-kanak memiliki daya kreativiti tinggi, lebih adaptif dalam menerima ilmu digital dan memberi kesedaran serta pendedahan awal kepada mereka.
“Sebagai pemangkin kepada pengukuhan infrastruktur pendidikan digital di SDK, pihak Affin Bank menaja sepenuhnya penyediaan kelengkapan makmal digital di tiga sekolah berkenaan membabitkan kos keseluruhan RM94,000.
“Antara kelengkapan disediakan seperti televisyen pintar (Smart TV), komputer riba, perakam video, telefon pintar, aplikasi multimedia dan sistem sokongan lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Affin Digital Space di SK Kementah di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brig Jen Hamdan Ahmad dan Guru Besar SK Kementah, Mohd Rizan Baba.
Mengulas lanjut, Adly berkata, program digitalisasi itu akan diteruskan ke 32 lagi SDK seluruh negara, dengan projek berkenaan akan dilaksanakan seawalnya sebelum hujung tahun ini.
Katanya, program digitalisasi bukan saja memberi manfaat kepada murid, tetapi juga guru dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kebanyakan murid di SDK adalah dalam kalangan anak pegawai serta anggota ATM.
Beliau mengharapkan ia menjadi usaha berterusan untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan digital dan memangkin pembangunan institusi pendidikan yang mampan serta melahirkan murid berdaya saing selari evolusi digitalisasi masa kini.-BH Online