CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi menegaskan ruang untuk pembangkang berunding mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka masih terbuka.
Justeru, Perdana Menteri mempersoalkan tindakan pembangkang yang masih berbuat “bising” di luar, tanpa mengambil inisiatif untuk bermesyuarat mengenai isu peruntukan itu dengan kerajaan.
“Mesyuaratlah dulu, draf memorandum persefahaman (MoU) itu boleh dipinda. Ini nak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu.
“Jadi sekarang ini, dia gunakan isu ini, riuh rendah. Ada mengatakan kami sampai miskin kerana hutang.
“Tahu berapa gaji Ahli Parlimen dengan elaun kalau mesyuarat semua? Ia cecah RM30,000 ke RM40,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di Menara Hasil di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau mendakwa, syarat yang ditetapkan dalam MoU itu adalah luar biasa dan ketat, seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata walaupun Ahli Parlimen pembangkang masih belum memperoleh peruntukan itu, namun projek untuk rakyat yang dirancang di kawasan itu tetap dilaksanakan.
Projek itu tidak diberi kepada Ahli Parlimen, namun Ahli Parlimen mempunyai peranan untuk memberikan usul atau cadangan.
“Jadi, untuk menyatakan rakyat terbeban itu, tidak benar dan untuk menyatakan, oleh itu (tanpa peruntukan), Ahli Parlimen jadi miskin, papa kedana, saya tidak tahu kalau RM40,000 itu miskin lagi.
“Kalau dengar syarahan mereka di Parlimen dan di luar Parlimen, seolah-olah kami sampai kena hutang. Hutang kalau beli kereta banyak tu, isteri banyak mungkinlah kena hutang tapi saya fikir, tidak perlu hutang,” katanya.
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya berikutan kesediaan kerajaan mempertimbang permohonannya.
Sebelum ini, PN mengumumkan menolak draf MoU daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka kerana mendakwa ia bercanggah dengan perlembagaan.
Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.-BH Online