KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan dalam industri sebelum pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, sesi libat urus itu bukan saja membabitkan pihak industri, tetapi juga agensi kawal selia kerajaan.
“Portfolio industri yang ada mempunyai kaitan dengan dasar kementerian dan jabatan dalam kerajaan. Jadi sudah tentu kita akan mengadakan perbincangan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh yang terbabit.
“Saya minta sokongan semua pihak termasuk pihak industri kerana inisiatif ini bukan saja dapat mengatur semula sektor pasaran buruh kita, tetapi juga akan memberikan daya saing yang lebih tinggi terhadap industri dan ekonomi negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Datuk Low Kian Chuan yang ingin tahu sama ada MTLM akan dilaksanakan tahun ini dan apakah pihak kementerian mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan MTLM akan diperkenalkan tahun ini sebagai sebahagian inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Mekanisme itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kepada bawah 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara.
Sementara itu, Sim berkata, kerajaan mengekalkan keputusan pada 18 Mac 2023 untuk membekukan kelulusan kuota pekerja asing baharu.
“Ia bagi mendukung dasar menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara menjelang 2025.
“Keputusan ini juga selari dengan prinsip untuk memberi keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran buruh sebelum kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing,” katanya. – BERNAMA