SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengenal pasti calon untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), yang kini kosong susulan persaraan Datuk Seri Hazani Ghazali pada 9 Februari lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pemilihan calon untuk mengemudi AKPS telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Dalam tempoh yang munasabah, pengumuman mengenai pelantikan akan dibuat,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Nilai-Nilai Murni Ihya’ Ramadan AKPS 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS Datuk Sazali Mohamad.
Beliau berkata proses pemilihan sedang dijalankan dengan teliti, dan beberapa kriteria telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk pertimbangan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas KDN, di bawahnya terletak AKPS, saya terlibat secara langsung dalam penubuhan agensi ini. Oleh itu, saya turut menyampaikan pandangan daripada perspektif KDN,” katanya.
Beliau menambah bahawa perbincangan dengan KSN dan pasukan berkaitan mendapati terdapat beberapa kriteria utama yang perlu diberi perhatian dalam pemilihan calon.
“Saya telah menyampaikan kepada Tan Sri KSN… ringkasnya, proses pemilihan masih di peringkat merisik, namun mungkin sudah ada calon yang dikenal pasti,” katanya.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024, dengan Hazani sebagai Ketua Pengarah pertamanya.
Sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab di sempadan negara, AKPS menyatukan kepakaran dan sumber daripada pelbagai jabatan kerajaan bagi memastikan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara lebih berkesan.
Kini ada 6,000 pegawai AKPS
Agensi ini kini dianggotai 6,000 pegawai dan anggota, termasuk 1,090 pegawai yang diserap daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Selain JKDM, pegawai serta anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut diserap ke dalam AKPS. – BERNAMA