Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), majlis agama Islam dan jabatan agama Islam negeri dalam memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mana-mana pihak menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Seperti mana proses siasatan dan pendakwaan kes penghinaan Islam sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian bernegara.

“Agensi di bawah seliaan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja terbabit perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih selaras peruntukan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata, agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam dan menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam amat dikesali.

Justeru, katanya, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan proses siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa demi kepentingan negara. – BERNAMA