Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa menantu pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan ingkar janji kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membantu siasatan.
Ini adalah berdasarkan kepada perbualan beliau dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.
“Tadi dari perjalanan saya Sungai Long ke Chuah, Port Dickson. Panggilan daripada ketua pesuruhjaya SPRM. Ini kenyataan sebab menantu dia (Mahiaddin) lari, saya kata lari di mana?
“Saya kata (tanya SPRM) kes ni kes kecil ke kes besar, dia (Azam) kata kes besar. Sudah siasat, dah bagi notis, dah.
“Kemudian macam mana dia (Muhamad Adlan) boleh keluar (negara). Dia (Muhammad Adlan) kata dia nak keluar, dia nak balik (semula ke Malaysia), jadi dia tak balik,” kata Anwar dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.
Kelmarin SPRM mengumumkan bahawa agensi tersebut memburu Adlan dan peguam Mansoor Saat.
Siasatan ke atas mereka berdua adalah berhubung dengan kes penyelewengan dalam projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang diluluskan oleh pentadbiran Mahiaddin.