Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti pandangan serta cadangan semua pihak ke arah mencari penyelesaian terhadap kemelut berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu mencapai konsensus bersama berhubung perkara itu.

“Sebab kerajaan ini terpaksa ada konsensus. Jadi, konsensus itu yang perlu kita dapatkan. Namun, tidak perlu bawa ke media, nanti kita bincang.

“Sesiapa yang mahu bincang, kita bincang dan tubuhkan jawatankuasa untuk memperhalusi segala cadangan sebab walaupun (ada perkara) dikemukakan YB Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)… banyak cadangan dikemukakan… dia nak mewakili pembangkang tetapi dia hanya mewakili dirinya kerana pembangkang sudah ada Ketua Pembangkang.

“Jadi, kita kena lihat keseluruhan. Kalau ada, bagi cadangan kepada saya dan kita akan membentuk jawatankuasa untuk duduk bersama berbincang, dengan sesiapa sajalah… fasal mereka tidak membuat usul, cadangan lagi pun… tiada apa-apa,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan 2025, di sini, hari ini. 

Pada September tahun lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata gabungan itu bersedia untuk membincangkan semula memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, sekiranya Kerajaan Perpaduan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa.

Ia susulan keputusan pembangkang yang sebulat suara menolak MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang sebelum ini yang dikemukakan kerajaan, sekali gus mengakibatkan rundingan serta penyaluran peruntukan itu terus tertangguh hingga kini.

Sabtu lalu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk beliau terbabit dalam perbincangan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sebaliknya, Perdana Menteri dipetik berkata, beliau sudah memberi mandat penuh kepada Fadillah dengan perkara itu dipersetujui semua Jemaah Menteri dan parti komponen dalam Kerajaan MADANI.

Menjelaskan lanjut, Fadillah memaklumkan buat masa ini, tiada lagi rundingan antara beliau dengan mana-mana wakil rakyat pembangkang khususnya PN, memandangkan mereka sudah menolak MoU berkenaan sebelum ini.

“Dulu, pembangkang juga yang menyatakan dia orang tidak mahu berunding, dia orang tidak setuju apa semua… jadi sebab itu saya kata sudah tidak ada perundingan.

“Apa yang ada, (hanya) Syed Saddiq, memang saya menerima cadangan daripada dia, tapi yang lain tiada… yang itu kita masih teliti untuk muktamadkan,” katanya.

Beliau sekali gus menekankan, hal peruntukan pembangkang tidak wajar dijadikan polemik kerana ia boleh diselesaikan jika semua pihak terbuka untuk berunding dan mencapai konsensus.-BH Online