KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan meneliti semula urusan pelaksanaan projek tebatan banjir termasuk pengambilan tanah dan proses reka bentuk.
Langkah itu bertujuan mempercepat tempoh penyelesaiannya dengan kos lebih efektif.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dengan kerjasama semua pihak berkenaan, projek tebatan banjir dijangka boleh disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal berbanding tempoh asal penyiapan projek.
“Kementerian komited melaksanakan projek mitigasi banjir bagi menangani risiko banjir yang semakin meningkat, terutama di kawasan terdedah kepada bencana.
“Justeru, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti pendekatan untuk menyegerakan projek dengan tempoh dan kos lebih efektif,” katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perincian tindakan bagi menyegerakan projek tebatan banjir.
Fadillah berkata, kerajaan menilai semula cadangan projek tebatan banjir selepas 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan kritikal terlebih dahulu.
Beliau berkata, ia berdasarkan proses pentadbiran dan peruntukan kontrak bersesuaian serta mematuhi tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan.
Katanya, projek tebatan banjir diakui akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan dalam lima hingga lapan tahun membabitkan projek merancang dan pelaksanaan.
“Bagi proses merancang, ia selalunya mengambil masa dua hingga tiga tahun manakala pelaksanaan tiga hingga lima tahun.
“Bagaimanapun, kita melakukan pendekatan bukan struktur dan kajian untuk mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku bencana.
“Komitmen ini turut memerlukan jaminan dan kerjasama kerajaan negeri kerana tanpanya, masalah pelaksanaan seperti pengambilan tanah boleh timbul,” katanya.
Melalui Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), katanya, sebanyak 136 projek tebatan banjir diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 35 projek dalam peringkat pra pelaksanaan dan 73 projek sedang dalam pelaksanaan.-BH Online