KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 pada sesi Parlimen kali ini.
Menterinya, Steven Sim, berkata sekiranya ia diluluskan, Malaysia akan menjadi negara terawal di dunia bersama 15 negara lain yang mempunyai akta perlindungan pekerja gig.
“Kita dah tunggu draf ini sudah lama iaitu sejak 2019, akhirnya selepas pelbagai rintangan kita mempunyai draf terkini mengenai Akta Pekerja Gig.
“Jadi kalau semuanya sudah okay, tiada aral melintang saya akan bawa ia ke Kabinet dan selepas mendapat kelulusan terakhir bagi undang-undang ini, saya akan bentangkan di Parlimen dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Town Hall YB Menteri Sumber Manusia berhubung Draf RUU Pekerja Gig 2025, di sini hari ini.
Mesyuarat pertama bagi penggal keempat Parlimen Kelima Belas 2025 bersidang mulai 3 Februari hingga 6 Mac depan.
Sesi Town Hall itu membabitkan lebih 1,000 pekerja gig daripada pelbagai platfrom antaranya Foodpanda, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, GoGet dan Lalamove.
RUU Pekerja Gig 2025 antara lain untuk melindungi pekerja gig, memberi kewajipan dalam entiti kontrak, mengawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan dan mekanisme penyelesaian pertikaian.
Selain itu ialah menerusi undang-undang berkenaan ia dapat menubuhkan majlis perundingan, tribunal pekerja gig, melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja serta memberikan perlindungan keselamatan sosial.
Sebelum ini, RUU Pekerja Gig yang sepatutnya dibentangkan pada Disember tahun lalu terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang untuk proses libat urus lebih banyak pihak.
Dalam pada itu, Sim turut mengalu-alukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)untuk bersama-sama membantu sektor gig di negara ini.
“Komponen utama dalam RUU kali ini, kita masukkan mengenai Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO), tetapi jika KWSP mahu bersama dalam komponen ini, kita sangat mengalu-alukan.
“Tapi saya tidak boleh beri kenyataan bagi pihak KWSP, kerana jika mahu masukkan KWSP, perlu ada pindaan akta dalam KWSP pula,” katanya.
Sim dalam masa sama turut berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam merealisasikan Draf RUU berkenaan.
“Jadi saya minta kerjasama dari semua pihak, ‘rider’, majikan, pihak kepentingan dan rakan dalam kementerian lain
“Harap Ahli Parlimen tidak mengira parti, kerana kita sudah bincang mengenai perkara ini sejak 2019, dari zaman Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) kini zaman Kerajaan MADANI.
“Semua (parti) dah bincang dan harap seluruh rakyat Malaysia boleh berjuang dan bersama realisasikan undang-undang baru ini dan mencipta sejarah supaya kita dapat melindungi sektor industri gig di negara kita,” katanya.-BH Online