TANJONG KARANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI di Bestari Jaya, di sini dijadikan sebagai model untuk perumahan pekerja estet.
Perdana Menteri berkata, projek itu juga sekali gus menjadi contoh kerjasama baik antara pihak swasta, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Sejumlah 245 keluarga pekerja dari lima ladang estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak menunggu puluhan tahun untuk memiliki kediaman sendiri.
“Apabila Nga Kor Ming dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, perkara ini dapat diselesaikan. Terima kasih juga kepada Pengasas Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan di atas pemberian tanah seluas lapan hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah, hari ini, yang turut dihadiri Kor Ming.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan bakal membina 245 unit rumah PPR bagi pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya.
Ia sekali gus menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan lima estet itu yang berlarutan sejak 1998.
Kor Ming dilapor berkata, pembinaan 245 unit rumah PPR itu akan dibuat di tanah berkeluasan kira-kira lapan hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Mukim Bestari Jaya.
Bagi pembinaan 245 unit rumah PPR itu, Kerajaan Persekutuan dan negeri akan menyalurkan peruntukan RM75 juta.
Mengulas lanjut, Anwar berharap projek itu disegerakan sebelum menjelang 2027 kerana kelulusan sudah diperoleh.-BH Online