KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir sebulat suara menolak usaha menghalau rakyat Palestin dari bumi Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pendirian itu disuarakan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, ketika beliau menghubungi pemimpin berkenaan, semalam.
“Saya telah menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, hari ini (semalam), dan perbincangan kami menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan serta usaha pembangunan semula Gaza.
“Alhamdulillah, saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.
“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook rasmi beliau, malam tadi.
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan AS akan ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza dan membangunkannya semula, selain mahu rakyat Palestin dipindah keluar dari tanah air mereka itu secara kekal.
Hasrat kontroversi Trump itu mengundang kecaman meluas, dengan banyak pihak menyifatkannya sebagai pembersihan etnik dan jenayah perang.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin, terutama membabitkan bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula Gaza.
Malah, beliau menegaskan, Malaysia turut kekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan serta mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.
“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau dan El-Sisi turut membicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir.
“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.-BH Online