Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan sebelum ini berkuatkuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.

Katanya, penetapan harga itu mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian serperti baja dan racun serta kos lain termasuk impak pengeluaran beras yang beri kesan kepada beras di pasaran.

“Sukacita saya mengumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kementerian Kewangan sedang memuktamadkan perundingan bagi membolehkan penyelia perkhidmatan padi dan beras juga layak menerima subsidi Budi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.

Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.-BH Online