Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Syarikat penerbangan baharu Sarawak yang wujud hasil pengambilalihan MASwings dinamakan sebagai AirBorneo. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata AirBorneo bersedia mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi.

Beliau berkata, AirBorneo beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) bagi meningkatkan pengalaman penumpang dengan ketara melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul. 

“Ini sekali gus akan menyerlahkan prestij Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium serantau,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara Kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.

Perjanjian jual beli itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang mewakili Kerajaan Sarawak, manakala Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail mewakili MAG.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata, sebagai permulaan AirBorneo akan mengekalkan tumpuannya kepada perkhidmatan udara luar bandar (RAS) sebelum mengembangkan lagi operasi dan destinasinya pada masa depan.

Beliau berkata, peristiwa penting dan bersejarah itu menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Sarawak apabila memiliki syarikat penerbangan sendiri.

“Langkah strategik ini bukan hanya mengenai pemilikan syarikat penerbangan, tetapi ia juga membuka potensi penuh Sarawak sebagai lokasi strategik untuk kemakmuran dan kemampanan ekonomi menerusi peningkatan serta pengembangan rangkaian hubungan udara.

“Kerajaan Sarawak membuat keputusan berani membuat pelaburan dalam memperoleh MASwings selari dengan komitmen kami untuk meningkatkan ketersambungan serantau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Abang Johari berkata, kawalan terhadap perkhidmatan udara amat penting, bukan saja untuk memudahkan pengangkutan penumpang tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.

“Dengan mengambil langkah strategik ini, kami meletakkan dan mengubah Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ke ASEAN,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings itu membabitkan keseluruhan operasi dan aset.

“Malah kakitangan MASwings termasuk yang di Sabah juga turut dibawa dalam operasi AirBorneo,” katanya.-BH Online