KUCHING: Persidangan Keusahawanan Wanita 2025 (WEC 2025) yang akan diadakan di sini 21 dan 22 Februari ini menjadi platform strategik untuk melengkapkan wanita dengan kemahiran, sumber dan rangkaian yang diperlukan untuk berkembang maju dalam perniagaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara fokus utama pada persidangan itu ialah melahirkan lebih ramai pengasuh profesional kalangan wanita.
Nancy berkata, ini kerana pengasuh profesional kini antara perkhidmatan yang amat diperlukan untuk menjaga kanak-kanak, wanita dalam pantang serta orang tua.
“KPWKM sudah memulakan usaha menggalakkan lebih ramai pengasuh profesional sejak tahun lepas dengan 385 individu berjaya dilahirkan.
“Kita mahu lebih ramai terbabit dalam industri ini dan tahun memfokuskan untuk menambah 480 orang lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media WEC 2025 di Menara Dayak Chamber, di sini, hari ini.
WEC 2025 dianjurkan Persatuan Jaringan Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita Kuching (WESNA Kuching) dengan kerjasama KPWKM dan disokong oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).
Nancy berkata, WEC 2025, adalah inisiatif yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan wanita, khususnya usahawan wanita di Malaysia.
Menurutnya lagi, persidangan itu juga akan meletakkan profesion pengasuh profesional di tahap tinggi selaras dengan keperluannya dalam masyarakat ketika ini.
“Kita tidak mahu orang ramai memandang rendah orang yang bekerja dalam industri ini justeru kita mahu meletakkan jenama yang lebih baik untuk profesion itu.
“Kebetulan tahun ini Malaysia menjadi pengerusi sidang kemuncak ASEAN dan saya yang diberi amanah untuk menjaga wanita akan membawa isu pengasuh profesional pada sidang berkenaan,” katanya.-BH Online