Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PENAMPANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa premis perniagaan dan pasar raya di negara ini mengaplikasikan penerimaan pembayaran menggunakan sistem Mykad.

Katanya, pendekatan itu lebih memudahkan rakyat memanfaatkan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikreditkan ke dalam MyKad mereka.

Katanya, ia juga selaras dengan pengumuman Kementerian Kewangan baru-baru ini, bahawa SARA akan diperluaskan menggunakan sistem sama ke Sabah dan Sarawak bermula tahun ini. 

“Kalau sebelum ini pelaksanaan di dua negeri berkenaan diberikan melalui tunai dan adakalanya tempoh pemberian itu mengambil masa berbulan untuk disampaikan secara tunai kepada penerima.

“Bagaimanapun, bermula tahun ini kerajaan melibatkan pasar raya dan premis perniagaan lain di Sabah dan Sarawak yang membolehkan sumbangan berkenaan digunakan menerusi pembayaran sistem MyKad. 

“Pengguna boleh datang ke pasar raya dengan hanya membawa MyKad masing-masing untuk membuat pembayaran selain boleh menyemak baki sumbangan,” katanya.

Armizan berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back to School 2025 sempena musim cuti persekolahan di pusat beli-belah ITCC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidan.

Kerajaan memperuntukkan hampir RM13 bilion bagi tahun 2025 untuk inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dalam usaha membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Armizan berkata semua aduan diterima dari pengguna dilihat sebagai medium penambahbaikan perkhidmatan buat masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, aduan berkenaan harus dibuat melalui platform yang bersesuaian supaya pihaknya mempunyai rekod sekali gus memudahkan tindakan susulan diambil.

“Kita mengalu-alukan aduan dan laporan orang awam kerana salah satu agenda penting KPDN adalah ketangkasan penguatkuasaan.

“Sebarang aduan berkaitan harga, kita akan pastikan ada tindakan susulan dalam tempoh 24 jam untuk KPDN menyemak wujudnya elemen pencatutan atau sebaliknya,” katanya.

Armizan berkata beliau sudah memaklumkan kepada warga kerja KPDN di semua peringkat supaya meningkatkan advokasi dalam kalangan pengguna berkaitan aduan.

“Janganlah pasang muka menteri KPDN, selamat hari raya, ucapan Krismas sahaja. Boleh letak iklan seperti itu tetapi selitkan sekali informasi tentang kepenggunaan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat kita,” katanya.-BH Online