Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 22 pegawai Jabatan Imigresen sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi membantu siasatan berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jabatan itu akan mengambil tindakan dan tidak akan melindungi sebarang salah laku mana-mana pegawainya.

“Sepanjang 2022 sehingga 2024, pihak pengurusan imigresen sudah mengambil tindakan tatatertib terhadap 241 pegawai dan 46 individu sudah diambil tindakan buang kerja.

“Kementerian Dalam Negeri memandang serius dan tidak berkompromi dengan sebarang pelanggaran integriti oleh mana mana pegawai,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang mahu tahu status terkini siasatan isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing dari beberapa negara tanpa mematuhi prosedur ditetapkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sejak bermulanya siasatan kes ini, jabatan itu sudah memberi kerjasama sepenuhnya dengan membekalkan maklumat dan dokumen lain diperlukan EAIC. 

“Isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan dikeluarkan kepada warga asing adalah masih dalam siasatan EAIC. Jabatan akan mengambil tindakan dan tidak akan melindungi sebarang salah laku mana-mana pegawai. 

“Jabatan Imigresen sentiasa memastikan pegawai dan kakitangannya mematuhi Akta, Peraturan, Prosedur Kualiti Operasi, Pekeliling, Arahan Tetap Ketua Pengarah dan arahan-arahan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, EAIC dilapor hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya dan melaksanakan penyitaan ke atas 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan). 

Sitaan itu dijalankan susulan aduan berhubung dakwaan pegawai Imigresen yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur. 

EAIC juga menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan itu, selaras subseksyen 17(1) Akta EAIC 2009 (Akta 700).-BH Online