KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1 bilion sudah diluluskan untuk disalur kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai insentif melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, program peningkatan produktiviti itu akan dilancarkan pada akhir bulan ini.
“Usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan (program berkenaan pada) akhir bulan ini Insya-Allah.
“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang minta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula dasar sedia ada iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat di negara ini.
Mengenai kos input pertanian seperti baja, racun dan jentera yang naik secara drastik sehingga menekan petani, Perdana Menteri menafikan kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk menangani isu berbangkit.
Setelah tertubuhnya Kerajaan Madani, Anwar berkata barulah bantuan khas ditambah dua tahun berturut-turut iaitu pada 2023 dan 2024.
“Seperti kita tahu, tidak ada langkah yang tegas dan pernah dibuat sebelum ini untuk menaikkan (bantuan) termasuk pada 2020, 2021 dan 2022. Tidak ada yang drastik.
“Hanya setelah Kerajaan Madani naik, barulah bantuan khas, sumbangan tunai ditambah RM228 juta pada 2023 dan ditambah pada 2024 RM600 ringgit setahun bagi setiap pesawah. Ia belum dibuat sebelum ini.
“Bantuan khas BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) memang dipertikai tetapi BERNAS ini… Kontrak itu diperbaharui pada 2021 untuk 10 tahun. Cuma saya boleh minta tolong bagilah bantuan sikit. Maka dibagi RM60 juta bantuan khas BERNAS kepada pesawah terkesan di utara.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan turut memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi pada awal tahun lalu dengan peruntukan dana awal sebanyak RM50 juta.
Untuk Sabah dan Sarawak, beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan lebih RM400 juta untuk menampung harga beras terlalu tinggi di negeri terbabit.
“Jadi untuk 2023 dan 2024, kita salurkan peruntukan khas kali pertama sebanyak RM420 juta di Sabah dan Sarawak untuk menampung dan menukarkan harga supaya tidak melambung terlalu tinggi,” katanya.-BH Online