Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Selepas hampir seminggu terpalit polemik berkaitan kerugian dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memilih mengunci mulut daripada menjawab isu itu kepada media. 

Beliau yang ditemui pada sidang media sempena Sambutan Thaipusam di Stesen Komuter Batu Caves di sini, hari ini, bagaimanapun tidak mengiyakan atau menafikan dakwaan terbabit apabila soalan diajukan kepada Setiausaha Agung DAP itu.

“(Soalan) itu tiada (kaitan dengan pengumuman berkenaan sambutan Thaipusam), tidak mengapa,” katanya ringkas mengulas kesediaan beliau dipanggil menyertai prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu berkenaan.

BH Sabtu lalu, melaporkan PAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting, termasuk Anthony Loke, susulan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dilapor berkata Siew Fook bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat, bermula minggu kedua bulan ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah tidak menolak kemungkinan memanggil Siew Fook kerana terdapat masalah berkaitan perkhidmatan aerotrain, selain menegaskan penting untuk PAC mendapatkan maklum balas serta keterangan daripada beliau.

Sebelum ini beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik dilaporkan mendesak KWSP memberi penjelasan mengenai penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

MCA turut meminta kerajaan segera melakukan siasatan ke atas transaksi penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.-BH Online