KUALA LUMPUR: Malaysia kini berhadapan dengan peluang keemasan untuk melonjakkan kedudukannya dalam rantaian bekalan cip global, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sebagai pengeluar utama pasaran semikonduktor dunia, Malaysia mesti mengambil langkah pantas untuk memanfaatkan kelebihan sebagai penggerak pertama dalam industri yang menjanjikan potensi besar itu.
“Selama ini, negara hanya memainkan peranan di peringkat kedua atau ketiga dalam rantaian nilai cip global. Sebagai contoh, aktiviti seperti ujian dan pemasangan cip sering dilakukan di Malaysia sebelum ia dihantar ke pasaran global.
“Malaysia kini menyumbang kira-kira 13 peratus daripada pasaran cip dunia, satu angka yang cukup signifikan. Namun, peluang untuk Malaysia melonjak ke peringkat lebih tinggi kini semakin terbuka.
“Menurut pakar, perubahan permintaan global terhadap cip memberikan peluang kepada negara untuk terbabit dalam aktiviti reka bentuk cip, satu bidang yang lebih bernilai tinggi,” katanya dalam temubual A Chinese New Year Conversation with Alfred Chan and Lee Yon Onn yang disiarkan di Facebook Rafizi.
Rafizi berkata, selama ini, reka bentuk cip dihasilkan di negara lain seperti Taiwan, Korea atau Singapura, namun dengan permintaan terhadap cip yang melonjak akibat perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan kenderaan automatik, Malaysia memiliki peluang besar untuk menempatkan diri di peringkat lebih tinggi dalam rantaian bekalan.
“Masa depan teknologi menjadikan kuasa pengiraan sebagai satu bentuk utiliti asas seperti elektrik. Dengan ini, negara-negara yang menguasai teknologi reka bentuk dan pengeluaran cip akan menikmati pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.
“Inilah visi kerajaan apabila memacu ekonomi kita ke arah AI dan digital. Ia bukan hanya tentang gaya hidup moden tetapi meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan cip global,” katanya.
Beliau menegaskan, lokasi strategik Malaysia, digabungkan dengan dasar luar yang terbuka dan tidak berpihak, memberikan kelebihan besar dalam pasaran semikonduktor yang semakin kompleks.
Katanya, dalam dunia yang semakin ‘terpecah’ akibat perang dagang dan sekatan ekonomi, Malaysia boleh menjadi hab neutral yang menyediakan akses cip kepada pelbagai negara.
“Antara pasaran utama masa depan termasuklah China, Amerika Syarikat (AS), India, ASEAN, Brazil, Eropah dan Afrika. Peningkatan penggunaan teknologi, kemakmuran ekonomi, serta permintaan terhadap gajet, telefon pintar dan kenderaan automatik di negara-negara ini menjanjikan potensi besar untuk cip semikonduktor,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, cabaran utama adalah membangunkan strategi teknologi yang kukuh.
“Terdapat dua pendekatan iaitu membangunkan teknologi secara dalaman atau mendapatkan akses kepada teknologi global melalui kerjasama dengan pemain antarabangsa.
“Malaysia perlu mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang secara serentak. Kita mesti membuka ruang untuk pemain tempatan mendapatkan teknologi tinggi sambil memastikan pelaburan dalam inovasi dalaman berterusan,” katanya.
Katanya, dengan sokongan dasar kerajaan dan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi peserta utama dalam rantaian bekalan cip global.
“Strategi yang tepat bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan negara tetapi juga mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab teknologi tinggi di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar peluang; ia adalah masa depan ekonomi negara yang sedang dipertaruhkan. Jika Malaysia dapat memanfaatkan peluang ini, bukan mustahil kita akan menjadi kuasa besar dalam teknologi global,” katanya.-BH Online