KUCHING: Mangsa banjir di Sarawak yang memerlukan bantuan untuk membersihkan rumah selepas bencana pulih, disaran berhubung dengan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bantuan mencuci kediaman itu antara langkah kerajaan untuk membantu meringankan beban mangsa selain menghulurkan bantuan makanan serta kewangan.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga bersedia menghantar sukarelawan khususnya ahli Pemuda parti itu untuk membantu jika diperlukan.
“Syukur keadaan banjir kini semakin beransur pulih. Air pasang besar pun sudah berakhir manakala hujan pula sudah kurang.
“Masing-masing sudah boleh mula balik ke rumah dan jika memerlukan bantuan untuk membersihkan rumah dan sebagainya atau tiada kemampuan untuk melakukannya, bolehlah berhubung dengan sekretariat,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Sauffi Omar.
Fadillah berkata, sepanjang tempoh banjir luar biasa melanda hampir seluruh negeri sejak Rabu lalu, pihak berkuasa turut menerima aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara.
Bagaimanapun katanya, situasi itu biasa berlaku dalam apa jua krisis dan ia dapat ditangani dengan baik oleh JPBN Sarawak.
“Aduan atau rungutan (tidak berpuas hati) ini biasa berlaku di mana-mana krisis dan pejabat residen serta pejabat daerah sedaya upaya menanganinya dengan sebaik mungkin.
“Pada masa yang sama, orang ramai juga harus faham keadaan kita untuk menggerakkan bantuan dalam kecemasan berdepan dengan pelbagai kekangan logistik serta kekurangan anggota.
“Namun usaha terbaik sudah dilaksanakan semua pihak untuk membantu terutama menjamin keselamatan, menyediakan makanan, penginapan sementara yang disediakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau mengakui banjir kali ini cabaran besar bagi semua pihak di Sarawak kerana pertama kali keadaan luar biasa itu berlaku.
“Sebab itu, usaha menyelamat menjadi sukar, kerana sebelum ini kita hadapi banjir biasa-biasa sahaja.
“Apabila berlaku keadaan luar biasa dan pemindahan perlu dilakukan serentak, kita menghadapi kekangan logistik dan keanggotaan,” katanya
Justeru katanya, situasi itu harus dijadikan pengajaran bukan sahaja kalangan agensi kerajaan tetapi juga masyarakat harus sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana luar jangka.-BH Online