Kesal keputusan Bersatu meletakkan calon yang lemah, bermuslihat dan telah tewas dalam PRU 15, Dr Muhammad Faiz Na’aman hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan keluar sebagai ahli parti itu.
Beliau menyebut satu persatu calon Bersatu yang telah tewas dalam PRU15, dan secara khusus menyebut nama Rina Harun yang tewas di Sepang, Mohamed Azmin Ali (Gombak), Sasha Lyna Abdul Latiff (Ampang) dan Dr Afif Bahardin (Shah Alam).
“Keputusan yang saya ambil ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan serta hala tuju Bersatu.
“Saya ucapkan terima kasih atas segala peluang yang telah diberikan kepimpinan parti selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini, sejak ia ditubuhkan pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.