PUTRAJAYA: Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) kepada RM10 juta pada tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, pertambahan peruntukan itu adalah bagi memperkasakan pergerakan kesatuan sekerja melalui peningkatan latihan kemahiran serta pengadaptasian penggunaan teknologi.
“Saya harap dengan dana lebih besar hasil usaha bersama oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan kepemimpinan gerakan kesatuan sekerja ini, kita boleh menarik lebih ramai lagi pekerja menjadi ahli kesatuan.
“Manfaat menjadi ahli kesatuan ialah kita memperkukuh satu wadah ataupun platform untuk pekerja merundingkan kebajikan yang lebih baik di tempat kerja masing-masing,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke atas Gabungan Kesatuan Sekerja Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas di sini hari ini.
Sim berkata, kerajaan turut bersetuju menaikkan peruntukan kluster Latihan dan Program Pendidikan di bawah PHEKS kepada RM30,000.00 berikutan sambutan sangat menggalakkan pada tahun sebelumnya.
“Matlamat utama kluster ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan faedah berkesatuan dan melatih ahli kesatuan menjadi pemimpin masa depan sejajar hasrat untuk memperkasakan pekerja dan kesatuan sekerja,” katanya.
PHEKS yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja ialah inisiatif untuk menyokong kesatuan sekerja melalui kluster latihan dan program pendidikan, kajian pergerakan kesatuan sekerja, penulisan ilmiah dan pembelian peralatan teknologi maklumat serta pendigitalan rekod pengurusan kesatuan sekerja.
Kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta untuk program berkenaan pada 2023 dan RM5.8 juta tahun lalu.
Dalam pada itu, Sim berkata, KESUMA akan menubuhkan beberapa pasukan petugas bagi mengkaji semula semua akta yang bertindih dan tidak relevan di bawah bidang kuasanya.
“Beberapa pasukan petugas yang bukan sahaja melibatkan warga KESUMA tetapi juga wakil daripada kesatuan, majikan, dan golongan akademik.
“Semua (perkembangan) ini kita akan lihat dalam tahun ini dan saya akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” katanya.-BH Online