Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keputusan laporan sampel produk sandwic ‘ham dan cheese’ yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa Isnin lalu, kini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman daripada KPDN terhadap sampel yang sudah dihantar itu.

“Berkaitan dengan isu terkini ataupun apa yang berlaku di Universiti Malaya (berkaitan) sandwic ‘ham dan cheese’, saya maklumkan di sini bahawa (Bahagian) Hal Ehwal Pengguna (HEP) KPDN sudah menghantar sampel berkenaan.

“Kita sama-sama tunggu pengumuman daripada KPDN sendiri hasil daripada ujian kimia yang dibuat terhadap makanan itu” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) kali ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan sampel produk sandwic ‘ham dan cheese’ yang didapati menyalah guna logo halal, sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa, bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, dilaporkan berkata ujian itu dibuat bertujuan mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya.

Beliau dilaporkan berkata, pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terhadap syarikat yang disiasat berkaitan produk sandwic sudah dibuat untuk pembuktian kesalahan.

Difahamkan keputusan ujian akan diumumkan minggu depan.-BH Online