KUALA LUMPUR: Ruang pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dibuka seluas-seluasnya dan menanti transisi kemajuan ekonomi untuk dimanfaatkan secara bersama.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan beliau ke London yang disifatkan beliau sebagai penuh bermakna.
“Hari yang penuh bermakna dan bersejarah di London buat delegasi Malaysia dimulakan dengan pertemuan rakan sejawat, Keir Starmer dan seterusnya pelancaran produk oleh YTL Group UK terkait pembangunan utama Bristol Brabazon.
“Ruang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dibuka seluas-seluasnya dan menanti transisi kemajuan ekonomi untuk dimanfaatkan secara bersama,” katanya melalui muat naik di media sosial.
Perdana Menteri yang tiba di London pada Selasa kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK).
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar.
UK adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara ialah RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion) setakat November 2024.-BH Online