LONDON: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyertaan kedua-dua negara dalam perjanjian ini akan membuka peluang luas bagi meningkatkan pelaburan dan memudahkan perdagangan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri UK atas kejayaan negara ini menyertai CPTPP. Ini menunjukkan komitmen politik yang kukuh daripada kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas dan pertumbuhan ekonomi,” kata Anwar semasa berucap di majlis pelancaran pembangunan bandar baharu Brabazon YTL Group di Bristol.
Malaysia telah meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas. Perjanjian ini akan mengurangkan tarif kepada sifar bagi produk negara anggota, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perdagangan.
Anwar turut memuji usaha YTL Group, pelabur terbesar Malaysia di UK, dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negara ini. YTL mula melabur di UK pada tahun 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.
Pembangunan Bristol Brabazon, yang telah memenangi pelbagai anugerah, dijangka mengubah tapak bersejarah Filton Airfield menjadi sebuah kawasan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan penting seperti tempat kerja, sekolah, kedai, pengangkutan awam, dan pusat penjagaan kesihatan. Projek ini turut merangkumi pembinaan 6,500 unit rumah lestari, tiga sekolah baharu, dan taman bandar.
Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Sir Francis Yeoh Sock Ping, mengumumkan komitmen syarikat untuk melabur sebanyak £4 bilion (RM21.96 bilion) lagi di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.
Anwar, yang sedang dalam lawatan kerja lima hari ke UK, berkata penyertaan syarikat Malaysia dalam usaha niaga di luar negara akan memperkukuh hubungan pasaran global dan menyumbang kepada aspirasi negara untuk mengembangkan perdagangan melalui rangka kerja antarabangsa seperti CPTPP.-BH Online