Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim reda dengan kekalahan Pakatan Harapan di Permatang Pauh semasa pilihan raya umum ke-15 namun mahukan kemenangan di dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang.
“Baru-baru ini (PRU15) memang kita kalah di Permatang Pauh. Tapi, tak apa. Saya hormat (keputusan pengundi). Ada saya kata apa-apa? Tak ada.
“Tapi, kali ini saya nak DUN (Dewan Undangan Negeri) Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya serta calon-calon PH dan BN (Barisan Nasional) yang lain membantu untuk memberikan kemenangan bergaya kepada kerajaan perpaduan ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dataran Guar Perahu, di sini malam tadi.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak akan sesekali mensia-siakan amanah yang diberikan sebagai Perdana Menteri selepas 25 tahun menunggu untuk mendapatkan mandat tersebut daripada rakyat.
“Tahun 1998 dan tahun 1999 dulu, orang dah maki saya berbakul-bakul. Apa yang tak dicakap? Semua dia kata.
“Tapi, saya tak pernah lupa jasa orang dan saya tak mahu jawab dengan menghukum orang lain pula,” katanya yang berharap kerajaan yang dipimpinannya ketika ini akan kekal hingga tempoh penggal berakhir nanti.
Anwar turut mengulangi keyakinannya untuk mempertahankan ketiga-tiga negeri yang dikuasai PH sebelum ini iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain menyasarkan satu atau dua lagi negeri khususnya Kedah termasuk DUN Jeneri untuk ‘ditawan’ pada PRN nanti.