Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pakar tempatan perlu membangunkan perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang bukan sekadar dapat menjimatkan kos, malah mengoptimumkan penggunaan teknologi itu dalam industri pembinaan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ketika ini penggunaan kos perisian BIM berharga RM10,000 setahun bagi seorang pengguna manakala di Sarawak mencecah RM18,000.

“Masalah yang kita hadapi dalam memperkasakan pelaksanaan BIM ini ialah kos perisian yang masih tinggi.

“Oleh itu, saya ingin galakkan lebih ramai terbabit dalam membina perisian ini, termasuk bagi pertubuhan BIM mengeluarkan modul dan perisian sendiri supaya boleh digunakan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum menutup Program Jelajah 2024 JKR BIM: Trail Training Lectures Zon Tengah di sini, hari ini.

Dalam sidang media selepas itu, Ahmad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pelan Strategik JKR 2021-2025 menetapkan sasaran 50 peratus projek bernilai RM10 juta ke atas dilaksanakan secara BIM dengan peningkatan 10 peratus setiap tahun.

“Sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) – Rolling Plan 4, bilangan projek BIM terus bertambah dan kini melebihi 400 projek.

“Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Jun lalu, beliau bersetuju penggunaan BIM diperluas kepada projek kerajaan dan swasta mulai 1 Ogos 2024,” katanya.

Melalui penggunaan BIM, Ahmad berkata, jurutera dan kontraktor terbabit mampu meningkatkan penyelarasan reka bentuk, mengesan masalah lebih awal dan mengurangkan risiko kelewatan atau isu di tapak pembinaan yang menyebabkan kos tambahan.

“Projek pembinaan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti 40 kelas boleh siap dalam masa enam bulan menggunakan kaedah BIM.

“Ia sekali gus menjadikan projek ini antara terpantas pernah dilaksanakan di Malaysia bagi projek pembinaan sekolah.

“Pembinaan Kuarters Gunasama Persekutuan Bintulu di Sarawak juga merekodkan 100 hari lebih awal dari masa pembinaan ditetapkan,” katanya. – BERNAMA